Tuesday, August 18, 2009
Pemuda Islam Sedunia Sangat Mencintai Masjid Al-Aqsa dan Palestin serta bekerja bermati-matian untuk Al-Quds.
(Gambar Wakil Aman Palestin Malaysia semasa perasmian Multaqa)-Akhbar Rakyah Qatar
Laporan
“Multaqa Syabab Al-Quds” Sedunia Kali Ke-empat
Tempat : Doha, Qatar
Tempoh : 1 - 6 Ogos 2009
1 Ogos 2009 (Sabtu)
Perjalanan bermula pada hari Sabtu, 1 Ogos 2009 jam 12.00 tengah malam dari Pejabat Aman Palestin Bangi ke Lapangan Terbang KLIA. Wakil Aman Palestin Bangi, Malaysia iaitu Anas Bin Abd Wahab dan Mohd Azrin Bin Samsudin serta Mohd Fauzi Bin Abd Hamid Wakil Aman Palestin Johor, Malaysia telah dipilih menyertai Multaqa Sedunia ini di Doha, Qatar. Penerbangan kami dari KLIA pada jam 4.00 pagi akhirnya selamat sampai ke Lapangan Terbang Doha, Qatar pada jam 6 pagi waktu Qatar (11.00 pagi waktu Malaysia). Kami disambut dan dibawa ke Hotel Sheraton, Doha Qatar untuk urusan penginapan dan program Mulataqa. Sepanjang perjalanan kelihatan kawasan Bandar Doha sedang membangun di mana kelihatan banyak bangunan-bangunan yang masih dalam pembinaan dan keadaan cuaca di sana begitu panas kering serta berdebu.
2 Ogos 2009 (Ahad)
Pada jam 7 pagi kami tiba di Hotel tersebut. Kami disediakan bilik penginapan dan makanan untuk sarapan pagi dan tengahari. Program pertama iaitu ceramah yang bermula jam 7 malam yang diadakan di Dewan Maha, Hotel Sheraton di mana tajuk yang dibentangkan oleh Ahmad Yasin iaitu tentang “Terowong Dalam Al-Aqsa Kepercayaan Yahudi”. Beliau merupakan seorang jurutera yang juga sedang membuat penyelidikan ke atas Masjid Al-Aqsa secara detil. Ahmad Yasin telah menerangkan secara terperinci tentang Keadaan Penggalian Terowong di bawah Masjid Al-Aqsa dan perancangan yahudi untuk membina Kuil Haikal, Sulaiman untuk menggantikan Masjid Al-Aqsa. Di antaranya, bila permulaan Terowong dibina dan ditunjukkan gambar -gambar terkini. Maklumat ini benar-benar memberi gambaran sebenar kepada semua peserta dan menunjukkan Al-Aqsa dalam bahaya jika tiada usaha bantuan berterusan diberikan. Ceramah tersebut tamat pada jam 9 malam. Sesi seterusnya diambil oleh Husam Al-Gholi di mana beliau merupakan orang yang bertanggungjawab memantau perjalanan program Multaqa ini sehingga tamat. Sedikit kata-kata alu-aluan selamat datang dan penerangan ringkas tentang aturcara program. Kelihatan ramai peserta yang baru sampai pada masa tersebut. Sesi penerangan tamat pada jam 11 malam.
3 Ogos 2009 (Isnin)
Pada jam 8 pagi kami bersarapan di Hotel Sheraton. Program dimulakan dengan sesi pendaftaran peserta pada jam 9 pagi hingga 10 pagi. Hampir 95 % kehadiran telah dipenuhi. Peserta yang hadir kebanyakannya terdiri daripada golongan belia yang datang dari negara-negara seluruh dunia seperti Iran, Arab Saudi, Madinah, Lubnan, Yaman, Sudan, Ethiopia, Jordan dan lain-lain serta negara-negara Eropah seperti Jerman dan Sweden termasuk dari Qatar dan Malaysia sendiri. Semua peserta diminta masuk ke Dewan Majlis Hotel Sheraton untuk majlis perasmian pembukaan “Multaqa Syabab Al-Quds” Sedunia Kali Ke-empat. Majlis perasmian pembukaan berlangsung selama 2 jam bermula pada jam 10 pagi dengan dirasmikan wakil Pegawai Kerajaan Qatar. Seterusnya Ceramah bertajuk “Keadaan Kota Al-Quds Dan Keperluannya” disampaikan oleh Dr. Ikram Adluni dan Hasan Hadraji. Ceramah ini menceritakan keadaan pada masa sekarang yang berlaku di Kota Al-Quds. Gambaran realiti jelas terbayang bahawa Al-Quds adalah kota perjuangan dan kebenaran. Seterusnya semua peserta diminta berbincang tentang jalan penyelesaian untuk membantu Al-Quds. Apa yang boleh dilakukan oleh setiap peserta di negara masing-masing. Selepas perbincangan, para peserta makan tengahari dan solat zohor berjemaah di ruang legar luar dewan.
Selepas itu, Sesi Pembentangan di antara kumpulan dibuat untuk memberi ruang kepada setiap kumpulan dari Negara yang lain menyampaikan idea masing-masing bagaimana untuk beramal untuk Al-Quds. Sesi pembentangan berkumpulan tamat pada jam 5.30 petang. Pada jam 5.30 petang, sesi ceramah pendek bertajuk “Zionis Masihi” selama setengah jam oleh Ikram Kasaab. Kemudian sesi rehat serta solat maghrib. Ceramah diteruskan dengan tajuk “Yahudi dan Masjid Al-Aqsa dan Pegangan Haikal”. Ceramah yang penuh bersemangat ini dibentangkan oleh Dr. Abdullah Ma’arof yang berkisar apa kaitan di antara Yahudi dan Masjid Al-Aqsa dan Pegangan Haikal. Kebenaran hubungan jelas di antara Yahudi dan Masjid Al-Aqsa. Ceramah tersebut tamat pada jam 9 malam. Kemudian, para peserta dibawa menyelusuri sekitar Bandar Qatar yang berhampiran sebagai program menjalinkan ukhuwwah.
4 Ogos 2009 (Selasa)
Aturcara pada pagi tersebut dimulakan dengan Bengkel Pengucapan ataupun Ceramah Umum oleh Abdul Rahman Harami. Bengkel ini banyak membincangkan teknik-teknik pengucapan umum yang betul untuk memberikan pembentangan ceramah ataupun pengisian terbaik kepada semu peringkat masyarakat. Banyak ilmu dan kemahiran yang diperolehi oleh para peserta terutama para peserta belia.
Bengkel seterusnya dikendalikan oleh Mohamad Bashir tentang Penggunaan ICT Elekronik di mana para peserta diterangkan secara ringkas tentang penggunaan kemudahan akses internet yang boleh digunakan untuk menyebarluaskan maklumat tentang Al-Quds. Di antaranya ialah penggunaan E-mail, Youtube, Web Site, Face Book, dan perisian lain. Program berikutnya disusuli dengan bengkel untuk para peserta : bagaimana peranan Al-Quds dapat dimainkan oleh para pemuda di seluruh dunia oleh Husam Gholi. Para peserta kemudiannya menikmati makanan tengahari. Aktiviti seterusnya iaitu perbincangan strategi dan projek yang perlu dibuat diselaraskan oleh Dr.Kholid Farj dan diikuti ceramah oleh a. saud abu mahfuz. Kemudian para peserta berehat sebentar untuk solat dan menikmati minum petang. Pada jam 7 malam terdapat sesi persembahan daripada para peserta sendiri di antaranya Pentomin, Syair, Sajak dan Nyanyian Nasyid. Kesemua persembahan banyak membawa definisi perjuangan al-quds. Sesi ini tamat pada jam 10 malam.
5 Ogos 2009 (Rabu)
Program pada 11 pagi itu bermula dengan Ceramah “Gerakan Zionis dan yahudi daripada definisi masihi”. Ceramah ini lebih merujuk kepada perbezaan gerakan Zionis dan yahudi sedunia. Banyak pengetahuan baru yang para peserta dapat manfaat. Para peserta kemudiannya menjamu selera makan tengahari dan berehat. Pada jam 5.30 p.m, Dr. Ahmad Naufal membongkar rahsia al-quran dengan memberi ulasan bertajuk : yahudi daripada pandangan quran kita. Kisah Nabi Ibrahim dengan yahudi, kitab Talmud dan kesahihan kitab taurat dan paling penting surah al-isra’ sebenarnya menceritakan tentang Al-Quds selain kisah Israk dan Mikraj serta banyak lagi. Ceramah yang bagi para peserta begitu mantap dan terkesan. Para paserta seterusnya dibenarkan berehat selama 30 minit sebelum masuk untuk sesi seterusnya. Pada jam 7.00 malam, Dr. Muhamad Musafar member sedikit input tentang “Palestin di antara dokumen sejarah atau dokumen agama”. Beliau mengupas sejarah Islam sejak Nabi Ibrahim dan fakta – fakta sejarah Islam yang lain untuk membuktikan bahawa Palestin bukan sebagai monument sejarah tetapi sebenarnya satu dokumen agama. Setelah tamat sesi ceramah tersebut, para peserta dibawa untuk bersama-sama meninjau tempat yang dikenali sebagai “Sauq Waquf”. Banyak kedai dan restoren yang terdapat di sana. Brangan seperti cenderahati Qatar, makanan dan sebagainya. Para peserta dijamu dengan hidangan istimewa sebagai tanda meraikan tetamu yang datang jauh dari luar Qatar. Para peserta pulang denga 3 buah bas pada masa itu.
6 Ogos 2009 (Khamis)
Alhamdulillah, program pada hari ini dilaksanakan di Dewan Majlis. Hari ini merupakan hari terakhir Multaqa. Program pada pagi itu bermula pada jam 9 pagi. Ceramah oleh A. Saud Abu Mahfuz yang bertajuk “Al-Quds dan Cabaran-Cabarannya”. Ceramah ini banyak menyentuh kekangan – kekangan yang dihadapi oleh Umat Islam untuk menyelamatkan Al-Quds. Selepas itu, terdapat perbincangan bersama Kedutaan Al-Quds iaitu Amaad Al-Magzawi. Para peserta kemudiaannya diminta untuk duduk dalam kumpulan masing-masing untuk membincangkan masalah-masalah yang dihadapi di Negara sendiri. Banyak masalah yang diutarakan oleh wakil-wakil kumpulan. Para peserta kemudiannya dibawa melawat Muzium Islami Qatar yang penuh dengan monument sejarah seperti permaidani yang berusia 1400 tahun lalu, begitu juga quran, dan pinggan serta pelbagai bahan sejarah yang lain. Program penutup “Multaqa Syabab Al-Quds” Sedunia Kali Ke-empat” adalah pada jam 8 malam. Program penutup tersebut dihadiri semua wakil penaja, wakil pegawai kerajaan Qatar dan wartawan Al-Jazeera. Banyak persembahan pada malam tersebut seperti Syair Agung Al-Quds dan Nyanyian Nasyid Khas Palestin. Mohd Azrin Bin Samsudin pada ketika itu sedang ditemuramah buat kali ke-dua di Balai Studio Penyiaran Al-Jazeera di Qatar. Akhirnya, semua hadirin makan malam di luar dewan.
7 Ogos 2009 (Jumaat)
Kami bertolak pulang pada jam 12 tengahari dari Hotel Sheraton ke Lapangan Terbang Doha, Qatar. Penerbangan pada jam 2.30 petang akhirnya selamat sampai di Malaysia jam 4.00 pagi waktu Malaysia. Kami menaiki teksi ke Pejabat Aman Palestin dan pulang ke rumah masing-masing pada waktu paginya. Semasa perjalanan pulang ke Johor Bahru
saya berfikir sejenak bagaimana pemuda atau remaja Lubnan yang saya temui berumur hanya 17 tahun sibuk dengan perjuangan pembebasan Palestin jika dibandingkan apa yang rutin difikirkan dan dilakukan oleh pemuda kita sebayanya di Malaysia, satu
gerakerja yang agung wajib diimplementasikan sekarang! Ya Syabab Al-Alami, Aina Antum!!!
Disediakan oleh,
Mohd Fauzi Bin Abd Hamid
Bertarikh : 13 Ogos 2009 jam 3.08 p.m
Subscribe to:
Posts (Atom)