Monday, June 13, 2011

Karnival Kemanusiaan Rakyat Palestin, Mersing

       Alhamdulillah, segala puji  bagi Allah swt yang telah mengizinkan segala perancangan hamba-Nya terlaksana. Syukur juga di atas limpahan rahmat-Nya yang memayungi jiwa-jiwa insan yang ingin terus menyumbang dan berbakti terhadap Palestina. Moga keringat yang mengalir akan menjadi saksi semangat dan perjuangan di hari perhitungan kelak.

       Pada tanggal 28 Januari 2011 hingga 6 Februari 2011, buat julung kalinya Aman Palestin Johor dengan kerjasama Majlis Daerah Mersing telah mengadakan Karnival Kemanusiaan Rakyat Palestin (KKRP) di Dataran Pulau, Mersing, Johor. Karnival yang berlangsung selama 10 hari ini telah berjaya menarik ribuan pengunjung yang terdiri daripada penduduk sekitar Mersing khususnya dan pengunjung dari daerah-daerah lain di negeri Johor amnya.

      Aktiviti yang dilaksanakan oleh krew Aman Palestin Johor sepanjang karnival ini berlangsung antaranya termasuklah kutipan tabung derma Palestin, jualan amal barangan Aman Palestin, lelongan amal, kuiz dan cabutan bertuah, pameran bahan dan informasi tentang Palestin serta pertunjukan video peristiwa berdarah di Palestin. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua sukarelawan daripada Persatuan Belia Islam Nasional Johor (PEMBINA) yang telah menyumbang tenaga dan masa demi menjayakan karnival ini. Sesungguhnya, hanya Allah yang dapat membalas segala jasa dan budi yang dicurahkan.


      Daerah Mersing menjadi lokasi pilihan untuk mengadakan karnival ini kerana Mersing terkenal sebagai destinasi tarikan pelancong. Oleh itu, KKRP ini dilihat mampu menjadi tarikan utama pelancong yang berkunjung ke Mersing. Selain gerai jualan dan pameran APJ, terdapat pelbagai jenis gerai jualan makanan, pakaian dan barangan kesihatan yang dibuka.


      Kedudukan Mersing yang berhampiran dengan kawasan laut dan sentiasa berangin memberi kelebihan buat krew Aman Palestin Johor. Tiupan angin seakan menghembus semangat perjuangan kepada pengunjung yang hadir. Bendera-bendera Palestin berkibar dengan megah tanda positif sokongan yang tidak berbelah bahagi pengunjung di Mersing terhadap rakyat Palestin yang berterusan berjuang memerdekakan tanah air mereka walau nyawa jadi taruhan.

 
     
       Diharap KKRP  di Mersing ini berjaya mencapai objektifnya iaitu untuk membuka mata orang awam tentang kepentingan perjuangan membebaskan Palestin dari jajahan Zionis Yahudi serta memberi kesedaran tentang peranan dan tanggungjawab yang boleh dimainkan masyarakat dalam membantu rakyat Palestin yang dizalimi. Biar jarak beribu batu, doa dan sumbangan akan terus disalurkan kerana kami menyedari hakikat bahawa sesungguhnya Muslim itu bersaudara.




    

 

No comments:

Post a Comment